SELAMAT BERKUNJUNG DI BLOG SD NEGERI 002 SINGKEP

Rabu, 19 Oktober 2016

Gurukah Aku atau ... ? : Sayang Cikgu (Bahagian 2)

        Ketika saya darjah satu, guru saya ialah Cikgu Halimah Md. Said. Cikgu ini masih muda lagi. Saya memang kenal beliau kerana setiap pagi beliau pergi ke sekolah dengan menunggang basikal, lalu dihadapan rumah saya. Saya suka melihat guru ini kerana berpakaian kemas dan rapi. Setiap hari beliau memakai baju gunting serong (kebaya pendek) berwarna putih (kainnya seperti baju sekolah) dipakai dengan kain batik yang beraneka warna. Badannya yang tinggi lampai amat serasi berpakaian begitu.
       Sudah beberapa hari Cikgu Halimah mengajar kami mengenal huruf. Saya masih ingat lagi, dia menuliskan huruf A, B, C, D, E, F, G, besar-besar di papan hitam dan meminta kami semua menyebutnya mengikut sebutannya. Ada beberapa orang murid ketika itu tidak mahu menyebutnya. Ramai yang menangis dan mah8u pulang ke rumah.
Saya perhatikan Cikgu Halimah cukup sabar melayan kerenah kawan-kawan saya.
      "Kamu nak kemana Akup?" tanyanya kepada murid yang paling nakal di dalam derjah kami. Akup sudah mula keluar dari kelas mahu pulang ke rumahnya.
"Balik,"selamba jawab Akup. Kepalanya yang separuh botak itu digaru-garunya.
"Tak boleh, Akup mesti belajar dulu, nanti pukul 11.00 baru boleh balik, " pujuk Cikgu Halimah. Tangan Akup dipegangnya. Akup didudukkannya kembali semula di atas bangkunya.
"Duduk sini tau, Akup mesti belajar dulu,"katanya lagi.
Akup kembali duduk dibangkunya. Bibirnya dicebikkan kepada Cikgu Halimah.
     " Semua murid lihat papan hitam! Cuba sebut huruf ini. Ikut Cikgu, A, B, C, D, E, F, G, "katanya sambil menunjuk setiap huruf dengan hujung rotan yang dipegang.
       "Sebut semua!"
        Kami semua menyebut huruf-huruf tersebut.
       "Bagus,"pujinya kepada kami.
        "Sekarang, cikgu nak tanya, siapa boleh sebut huruf-huruf ini, angkat tangan, "tanya Cikgu Halimah. Semua murid senyap. Saya taku hendakmengangkat tangan, sebaliknya huruf-huruf itu saya sebut perlahan-lahan.
        "Mira!Cuba Mira baca huruf-huruf ni? pinta Cikgu Halimah lembut. Terkejut nama saya dipanggil. Saya pasti Cikgu Halimah nampak mulut saya terkumat-kamit membaca huruf-huruf tersebut tadi.
        "Cuba Mira sebut ini,"hujung rotan cikgu Halimah menunjuk huruf-huruf tersebut. Tiba-tiba hati saya mula rasa berani. Saya terus membaca mengikut huruf yang ditunjuk oleh Cikgu Halimah.
         "A, B, C, D, E, F, G, " kata saya.
"Bagus! Mira sudah pandai, semua murid tepuk tangan untuk Mira," katanya. Semua murid bertepuk tangan. Hati saya jadi seonok. Segala perasaan takut tadi hilang entah kemana!

(Mulai saat itu saya sayang Cikgu Halimah. Dia selalu memanggil saya dengan nama Mer saja. Terasa Cikgu Halimah macam kakak sendiri. Pujian daripada guru amat penting bagi menghilangkan rasa takut murid kepada guru).



Sumber

Gurukah Aku atau ... ?
Mula Bersekolah
NORBI HUSIN

Kuala Lumpur : PRIN-AD SDN.BHD., 2010

Tidak ada komentar :

Posting Komentar