Seingat saya sehingga bulan kedua saya bersekolah, kami murid-murid darjah satu (cuma ada satu kelas sahaja) sudah pun diperkenalkan dengan semua huruf daripada huruf A hinggalah huruf Z termasuk huruf-huruf kecil sekali. Kalau Cikgu Halimah menulis sahaja sesuatu huruf di papan hitam semua pelajar dapat menyebut huruf tersebut dengan betul kecuali Tijah, Jalila dan Akup. Mereka masih banyak belum kenal banyak huruf. Kami juga sudah mula belajar membaca berdasarkan suku kata.
Masalah saya ialah, walaupun huruf saya kenal tetapi menyebut huruf mengikut susunannya saya selalu silap. Saya betul-betul susah hati. Petang itu sambil duduk di atas pangku abah, saya bertanyanya, "Macam mana nak ingat huruf-huruf tu ikut susunan, banyak sangat?"
Abah tersenyum. Kepala saya diciumnya, "Huruf kenal tak?" tanyanya. Saya berlari naik ke atas rumah. Papan batu dan sebatang kalam saya bawa kepada abah yang masih duduk disitu.
"Cuba abah tulis, nanti Mer jawab!" kata saya. Abah tertawa. Dengan kalam saya, abah menulis beberapa huruf, dan saya terus menyebutnya.
"Kan dah pandai tu, apa yang Mer risau sangat?" katanya.
"Yalah abah, tapi Mer tak ingat susunannya, macam dalam buku abang!" kata saya (saya sering membaca huruf A hingga Z mengikut susunan seperti yang terdapat di luar kulit buku tulis abang saya).
"Ah, itu tak apa, itu tak mustahak, nanti lama-lama anak abah pandailah," katanya. Saya cukup tidak berpuas hati dengan jawapan abah. Saya takut kalau Cikgu Halimah menyuruh menyebut huruf A hingga Z menurut susunannya, saya gagal menyebutnya. Tentu Cikgu Halimah tidak akan memuji saya lagi.
"Cikgu, saya tak boleh ingat susunan huruf-huruf yang ikgu ajar tu. Susah, kadang-kadang lupa," kata saya suatu hari kepada Cikgu Halimah. Beliau tertawa.
"Macam mana cikgu kalau saya tak boleh ingat huruf itu ikut susunannya?" saya masih mahu lagi menguasai masalah saya.
Cikgu Halimah memandang saya. "Tak apa, Mer ingat dan kenal huruf serta tahu bunyinya itu sudah baik!" katanya.
Jawapan abah dan Cikgu Halimah tidak dapat menyenangkan hati saya. Setiap malam saya cuba menghafal susunan huruf-huruf seperti yang terdapat di kulit buku, tetapi masih ada yang silap. Susah juga belajar ni, fikir saya.
(Ketika ini kami semua menulis menggunakan kalam dan papan batu)
Sumber :
Gurukah Aku atau ... ?
Mula Bersekolah
NORBI HUSIN
Kuala Lumpur : PRIN-AD SDN.BHD., 2010
Tidak ada komentar :
Posting Komentar